Ahad, 13 November 2016

Asas Keusahawanan



1.0       Keusahawanan Pelancongan

          1.1 Pengenalan

         Industri pelancongan diramal akan menjadi industri nombor satu di dunia, dalam abad ke-21 ini. Di perancis, Itali dan beberapa buah negara Eropah yang lain, pelancongan telah pun menjadi industri utama kepada pembangunan ekonomi negara-negara tersebut. Di Malaysia, industri pelancongan telah menjadi industri kedua terpenting selepas industri perkilangan yang menyumbang kepada sumber pendapatan negara. Justeru, keusahawanan pelancongan pula bakal menjadi salah satu daripada aktiviti-aktiviti ekonomi tulang belakang kepada perubahan pesat pembangunan Malaysia.

         Aktiviti-aktiviti keusahawanan pelancongan telah terbukti berupaya menyumbangkan sejumlah tukaran wang asing yang besar kepada negara, selain berperanan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan melalui sektor yang berkaitan, seperti sektor perhotelan dan pengangkutan. Walau bagaimanapun, perkembangan semasa aktiviti-aktiviti keusahawanan pelancongan, bergantung pada kedudukan semasa ekonomi global yang sukar dijangka berikutan insiden yang melanda di dekad yang lalu.

        Variasi perkembangan atau keadaan ekonomi dunia yang kian tidak menentu telah mengajak para usahawan pelancongan untuk turut mengkaji dan menimba ilmu yang releven dengan pelancongan. Setiap usahawan, termasuk para usahawan pelancongan perlu sekurang-kurangnya tahu berkenaan perundangan yang berhubungkait dengan perniagaan, jenis-jenis bantuan perniagaan yang disediakan, agensi-agensi sokongan, strategi pertumbuhan dan perkembangan perniagaan pelancongan yang lestari, konsep-konsep dan teknik-teknik pelaksanaan perniagaan kontemporari, strategi memulakan, mengembangkan dan menamatkan perniagaan. 


2.0       Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

           Mengikut pandangan sebahagian daripada pakar sejarah, aktiviti-aktiviti pelancongan telahpun bermula seiring dengan kewujudan manusia dan ia berlaku kepada pelbagai tujuan. Di antara faktor-faktor pendorong manusia pra sejarah dan manusia pra zaman moden berjalan dan mengandungi lokasi-lokasi baru atau tertentu adalah kerana mencari rezeki, menjalankan perdagangan, menakluki dan menguasai wilayah-wilayah baru. Masyarakat Cina dari Tanah Besar China dan masyarakat India telah datang ke Melaya untuk mencari rezeki. Orang Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris berulang alik dari Melaka ke negara-negara mereka pada mulanya untuk perdagangan rempah ratus, getah dan bijih timah, akhirnya menakluk dan menguasai sebahagian besar tanah-tanah jajahan asia.

         Aktiviti-aktiviti pelancongan di zaman moden ini telah berkembang maju dan telah jauh berbeza. Pelancongan telah menjadi industri penting di seluruh dunia. Setiap negara cuba mempromosikan lokasi-lokasi baru atau tertentu untuk dikunjungi oleh pelancong asing. Dalam masa yang sama, negara-negara lain juga melakukan aktiviti-aktiviti promosi yang sama di samping aktiviti-aktiviti negatif kepada negara-negara lain. Contohnya, kerajaan Malaysia telah mempromosikan negara ini menerusi multimedia di dalam dan di luar negara, termasuklah stesyen berita Cable News Net-work (CNN). Selain itu, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia ke-8 (RMK8), telah mengenal pasti, memberi tumpuan dan mempromosikan produk-produk pelancongan baru yang berpontesi ke seluruh dunia untuk memajukan pelbagai variasi pelancongan seperti ekopelancongan, agropelancongan, pendidikan dan kesihatan. Aktiviti-aktiviti tersebut telah dikecewakan oleh tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya yang telah menasihatkan rakyat mereka supaya tidak melawat Malaysia. Mereka bertanggapan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak selamat dilawati kerana Malaysia berfungsi sebagai ‘sarang’ lanun atau pengganas.

          Kerajaan Malaysia telah cuba memperbetulkan persepsi-persepsi negetif mengenai keadaan di Malaysia dengan mengajak para pelancong asing melihat sendiri keadaan di seluruh Malaysia. Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian pula telah memberi penerangan dan mempromosikan Malaysia kepada dunia luar menerusi program-program pemuliharaan industri pelancongan, rumah terbuka, program suaikenal dan program-program lain. Program-program tersebut bertujuan untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara aman, damai, indah makmur dan stabil, dan sekali gus menangani persepsi-persepsi negatif yang telah dilemparkan terhadap Malaysia.

          Promosi di sektor awam tidak akan memberi kesan sepenuhnya jika tidak disokong oleh sektor swasta. Di sektor swasta, para usahawan pelancongan perlu mempunyai ciri-ciri dan keperibadian keusahawanan yang menyeluruh untuk menjadi nadi penggerak kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Para usahawan perlu mempunyai semangat juang yang kental untuk bersaing menggunakan kelebihan dan keistimewaan prasarana yang sedia ada di Malaysia untuk merancang, melaksana dan memenangi persaingan di dalam industri pelancongan.



3.0       Rujukan Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap
           Pembangunan Ekonomi Negara.
          
           Di Malaysia, pelancongan semakin menjadi salah satu kegiatan sosial dan ekonomi yang penting. Jumlah pelancongan dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat dan hampir setiap negara di dunia kini cuba memajukan industri pelancongan untuk faedah tertentu. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7) 1996-2000, Pertumbuhan pelancongan Sedunia mengunjurkan ketibaan pelancong ke rantau Asia Pasifik akan meningkat sebanyak 5.0 peratus setahun (Malaysia,1999:255). Namun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RM8) 2001-2005, ketibaan pelancong ke Malaysia meningkat 10.0 peratus setahun, lebih tinggi daripada sasaran negara 6.9 peratus. Pelancong dari negara ASEAN sahaja menyumbang lebih 70 peratus kepada jumlah ketibaan pelancong dalam tempoh tersebut (Malaysia,2006:204). Selaras dengan kepentingan ketibaan pelancong, pendapatan tukaran wang asing meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan purata 12.4 peratus daripada RM17.3 bilion pada tahun 2000 kepada 31.0 bilion pada tahun 2005.

            Walau bagaimanapun, kesan terhadap kelembapan ekonomi baru-baru ini dan juga Wabak Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) serta keadaan politik dunia yang tidak menentu telah menjejaskan sektor pelancongan dari segi pengurangan bilangan jumlah ketibaan pelancongan. Maklum balas daripada agensi pelancongan menunjukkan terdapat persepsi negatif ke atas destinasi percutian di Malaysia disebabkan oleh laporan media, termasuklah media dari negara-negara jiran. Contohnya, propaganda yang dibuat oleh media Indonesia dengan menyiarkan berita memburuk-burukkan majikan dan polis Malaysia berkaitan penderaan terhadap ‘Pendatang Tanpa Izain’ (PATI) juga boleh menyebabkan kehadiran pelancong Indonesia ke Malaysia turut terjejas. Dalam hubungan ini, usaha bersepadu dilaksanakan bagi membina semula imej negara. Bagi mempercepatkan lagi pemulihan sektor pelancongan, berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia (RMK-8) dan kini Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9).

          Buat masa ini, para pelancong asing yang bertumpu ke Malaysia terdiri daripada pelawat dari negara ASEAN. Singapura mendahului daftar kemasukan pelancong asing berasaskan pasaran jarak dekat. Sejak dari dulu lagi, kemasukan pelancong dari Singapura, diikuti oleh Thailand dan Indonesia sentiasa mendahului senarai tersebut memandangkan faktor jarak dan budaya telah mendorong mereka untuk mengunjungi negara ini. Jarak yang dekat membolehkan mereka datang ke negara ini melalui jalan darat serta tanpa perlu menanggung kos pengangkutan yang banyak kerana hanya mengambil masa yang singkat. Selain daripada itu, faktor kesamaan kekeluargaan telah mendorong rakyat Singapura dan Indonesia melawat Malaysia. Keadaan ini membuatkan mereka selesa untuk melancong ke negara ini kerana dapat berinteraksi dan komunikasi dengan senang.

3.0       Halangan dan Cabaran Industri Pelancongan

          Isu dan cabaran penting kepada semua para usahawan adalah untuk mewujudkan dan meningkatkan kualiti jati diri dengan ciri-ciri sendiri tanpa terpengaruh dengan unsur-unsur luar. Walaubagaimanapun, isu dan cabaran para usahawan, dalam era liberalisasi dan globalisasi ini ialah meningkatkan tahap kuantiti dan tahap saingan produk dan perkhidmatan mereka hingga ke peringkat antarabangsa.

          Untuk menangani tahap kualiti dan persaingan, para usahawan perlu berupaya mencari peluang-peluang yang lebih luas kerana negara kita perlu mempunyai kelebihan untuk bersaing. Ilmu dan pengetahuan pengusaha dan tenaga kerja di dalam organisasi perlu ditingkatkan untuk mendapat kelebihan saingan ini. Ilmu yang bersesuaian dengan tuntutan Allah S.W.T akan meningkatkan nilai moral dan khidmat kerja yang tinggi. Nilai-nilai ini pasti membantu untuk memenuhi kehendak, aspirasi dan harapan pelanggan sepertimana yang diharapkan. Kejayaan industri pelancongan bergantung kepada tahap kepuasan yang diberikan kepada para pelancong. Para pelancong hanya akan berpuas hati apabila diberi produk yang berkualiti serta layanan perkhidmatan dan sambutan mesra yang memuaskan. Layanan dan sambutan yang baik ini, sudah pastinya akan menjadi tarikan untuk menarik kembali para pelancong berkenaan, di samping rakan-rakan mereka secara berterusan. Para pelancongan yang berpuas hati tentu gembira untuk menceritakan kepada rakan-rakan mereka mengenai sikap dan kesantunan para pengusaha dan tenaga kerja pelancongan Malaysia yang membanggakan semasa berurusan dengan mereka.




4.0       Sistem Sokongan Oleh Pihak Kerajaan dan Swasta Yang Ditawarkan
           Untuk Pembangunan Industri Pelancongan.

         Sektor pelancongan merupakan satu sektor penting yang menyumbang kepada pendapatan negara Malaysia Oleh yang demikian, pembangunan strategik kearah industri pelancongan ialah .satu perkembangan yang terbaik bagi mempertingkat lagi ekonomi negara. Justeru ia juga dapat memperkenalkan Malaysia ke serata dunia mengenai kewujudannya yang memiliki hutan hujan tropika tertua di dunia serta mempunyai kepelbagaian ekosistem. Pastinya, Rancangan Malaysia ke-7 telah memberi penekanan kepada pelancong dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

          Malaysia telah merangka satu perancangan yang teliti berasaskan pelaburan jangka panjang untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 Pelan Perspektif (OPP) dalam tempoh 2001-2010 dan pelan lima tahun Malaysia mengandungi perlaksanaan strategi-strategi dan program-program OPP termasuklah pelan-pelan pelancongan. Falsafah keseimbangan dan program-program  pembangunan pelancongan dengan pemulihan persekitaran sebagai satu perkara yang penting kepada semua agensi pelancongan.

           Di bawah Rancangan Malaysia ke-7 ,lestari dan kualiti hidup telah diberikan penekanan. Sebanyak RM1.9 bilion telah dibelanjakan untuk mencapai matlamat persekitaran sempurna di bawah pelan pembangunan lestari yang disasarkan bagi mempromosikan kemajuan ekonomi, sosial dan kebudayaan. Oleh itu, penekanan telah diberikan ke atas tiga bidang tumpuan utama, iaitu pengurusan persekitaran, pengurusan sumber semulajadi dan inisiatif sokongan.

          Undang-undang dan akta telah digunakan sebagai alat untuk mencapai pembangunan lestari yang menyeluruh, dimana pihak kerajaan telah melancarkan kempen kesedaran dan pendidikan semula di kalangan masyarakat sebagai pemangkin program pembangunan lestari. Oleh yang demikian, gaya hidup mesra persekitaran telah disebar luas oleh Kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Sektor swasta juga telah diberi mandat untuk memberi sumbangan bagi merealisasikan pembangunan lestari Malaysia.

           Perdana Menteri telah mensasarkan bahawa industri pelancongan adalah salah satu daripada tiga industry kebangsaan yang dimanifestasikan sebagai industri strategik dalam era millennium ini, bersama-sama dengan industri Teknologi Maklumat  dan Komunikasi (ICT) dan Industri Alam Sekitar. Oleh itu, promosi yang seragam, bertanggungjawab dan pembangunan lestari merupakan satu tanggungjawab yang harus dikongsi bersama oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam industri pelancongan. Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber semula jadi yang unik. Justeru banyak peluang perniagaan kepada para usahawan untuk membawak masuk lebih banyak pelancong ke pusat tarikan pelancong di Malaysia. Antaranya termasuklah hutan hujan tropika yang dipercayai sebagai salah satu ekosistem tertua dan paling pelbagai di dunia seperti Sarawak dan Endau-Rompin.

          Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dengan memberi penumpuan untuk mengukuhkan institusi-institusi pelancongan yang berkaitan serta mekanisme perundangan dan peruntukan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan persekitaran yang semula jadi. Dalam usaha untuk terus meningkatkan pertumbuhan dalam industri pelancongan, Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan keseimbangan persekitan dan sosial tidak diabaikan serta selaras pula dengan falsafah pembangunan lestari.

         Malaysia ialah satu destinasi yang memiliki pelbagai keunikan, namun begitu, rakyat Malaysia sendiri tidak sedar tentang kewujudannya. Sehinggalah sekarang, kampen pemasaran yang baru telah memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah alam. Peningkatan populariti dan permintaan terhadap pelancongan atau ekopelancongan telah menjadikan industri pelancongan bertambah penting di negara ini.

          Pada era ini, industri pelancongan telah dimertabatkan oleh kerajaan Malaysia sebagai salah satu industri kebangsaan. Banyak cendiakawan dalam pelbagai bidang mempercayai bahawa ekopelancongan merupakan salah satu harapan terbaik untuk menyelamatkan ekosistem dunia yang kian rapuh. Semenjak penubuhan Kementerian Kesenian, kebudayaan dan Pelancongan serta Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, usaha-usaha telah ditumpukan untuk membangunkan produk pelancongan dan pemasaran serta strategi promosi yang berkesan. Dalam usaha untuk terus berada dalam pasaran global yang menguntungkan, kita dapat melihat banyak proses menarik yang telah digunakan untuk membangunkan tema promosi Malaysia dan destinasi yang terdapat di Malaysia.

         Semasa Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan ditubuhkan pada tahun 1989, empat destinasi telah dikenal pasti untuk tujuan promosi di luar negara. Sekarang, jumlah ini telah berkembang menjadi 12 destinasi yang mempunyai imej yang berbeza dan tidak bercanggah antara satu tempat dengan satu tempat yang lain. Sebagai contoh, Pulau Pinang terkenal sebagai ‘syurga’ makanan, johor dan Kuala Lumpur sebagai ‘syurga’ membeli belah, Langkawi sebagai ‘pulau syurga’ dan tidak ketinggalan Melaka yang kaya dengan sejarahnya.

1.0             Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan Industri
           Pelancongan

          Dengan mengambil kira pengalaman serta contoh program yang telah dan sedang dilaksanakan di United Kingdom dan Amerika Syarikat oleh pelbagai agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk memajukan serta memperkenalkan warisan budaya kepada masyarakat umum serta pelawat, dicadangkan beberapa pendekatan strategi yang boleh diguna pakai oleh institusi-institusi di Malaysia.

1.1             Usahawan Strategik: Agensi Awam dan Swasta
           Untuk meletak budaya seni dan warisan sebagai satu produk pelancongan pasti melibatkan pelbagai agensi yang perlu mempunyai visi seiring dalam memperkenalkan produk serta melakukan promosinya. Sesebuah institusi secara tersendiri mungkin sukar memenuhi keperluan tersebut terutamanya dari segi pemasaran produknya secara meluas. Dicadangkan supaya diwujudkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (MOCAT), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB), Bahagian Pelancongan Negeri, Persatuan Hotel, Persatuan Agensi Pelancongan, Persatuan Sejarah dan agensi lain yang releven untuk bergabung tenaga mencapai matlamat untuk mengembangkan industri pelancongan yang bercirikan budaya serta warisan nasional yang bernilai tinggi.

1.2             Pameran Bersama
           Institut-institut budaya dan warisan boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti khusus untuk menarik pengunjung melalui kerjasama yang pelbagai. Contohnya, pameran koleksi kraf tangan sesebuah kaum atau budaya kehidupan sesebuah masyarakat. Muzium dan galeri boleh menyediakan ruang pameran, sementara arkib menyediakan maklumat tentang kaum serta kraf tangan yang dipamerkan.

1.3             Rakan Seni dan Warisan
           Ini melibatkan individu, kumpulan, institusi atau kampong angkat bagi memudahkan sesuatu tradisi budaya yang ingin diketengahkan agar dapat dipersembahkan secara langsung. Promosi ini boleh dilakukan secara bermusim mengikut peristiwa adat atau tradisi dan budaya yang diamalkan.

1.4             Persekitaran Budaya
           Usaha mewujudkan suatu persekitaran budaya dan kesenian melalui pameran artifak atau amalan budaya atau kesenian sesebuah kaum secara bergilir mengikut kesesuaian masa penggunaan artifak atau amalan budaya itu dipraktikan oleh kaum tersebut. Contohnya ialah aktiviti menuai hasil tanaman di lokasi sebenar digabungkan dengan pameran artifak atau kesenian kaum pada waktu yang sama di premis institusi budaya dan warisan dan tempat lain yang sesuai.

1.5             Rakan Pelancongan
           Institusi budaya dan warisan bekerjasama dengan muzium, galeri seni, arkib, perpustakaan, badan pelancongan, agen pelancongan dan sebagainya untuk memantapkan serta menggalakkan fungsi sebenar budaya dan kesenian dalam kehidupan individu, keluarga dan komuniti. Gabungan ini bermatlamat untuk memajukan budaya serta warisan melalui sebaran maklumat , pendidikan dan media hiburan kepada pengunjung dalam persekitarannya sebgai produk pelancongan. Usahasama ini dapat membentuk masyarakat untuk memahami serta prihatin terhadap fungsi budaya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, ia menjadi lebih mudah bagi mereka untuk menjadi ejen penerangan kepada pengunjung-pengunjung luar, selain dapat melihat perkembangan institusi budaya dan warisan sendiri. Kesannya, institusi budaya dan warisan dapat diperkukuhkan kewujudannya dan aktiviti pelancongan mampu menjadi lebih mampan.

1.6             Informasi Budaya dan Warisan
           Bahan terbitan atau sebaran maklumat tentang fungsi budaya boleh dijadikan sebagai produk pelancongan. Ini juga memerlukan usaha sama erat pelbagai agensi, terutamanya pihak media. Media elektronik komunikasi dan maklumat secara global. Kerjasama perlu ada untuk membantu membina laman web secara bersepadu dengan melibatkan pelbagai agensi yang saling menyokong aktiviti budaya dan warisan sebagai produk pelancongan. Institusi ini melaui bantuan agensi lain boleh mengadakan kelas untuk melakukan penerengan secara tersusun di samping membangunkan sifat cinta akan warisan negara di kalangan masyarakat serta pengunjung. Usaha sama ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malahan penyebaran maklumatnya akan lebih luas.





7.0       Kesimpulan

           Secara keseluruhannya, penulisan yang dikemukan dalam tugasan ini telah berjaya mencungkil dan mengupas potensi-potensi, isu-isu dan cabaran-cabaran semasa berkaitan dengan keusahawanan pelancongan di Malaysia dengan baik. Selain itu, program pembangunan pelancongan perlu diberi nafas baru, pengisian baru, imej baru agar para usahawan pelancongan dapat meningkatkan prestasi produk dan perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

         Para usahawan pelancongan perlu didedahkan dengan ilmu, pengalaman dan maklumat-maklumat semasa yang releven dan terkini agar mereka lebih peka untuk menghadapi isu-isu terkini, serta sensitive kepada cabaran dan saingan semasa dalam industri pelancongan. Ilmu, pengalamandan maklumat-maklumat yang releven dan terkini juga dapat meningkatkan tahap kecekapan, kualiti perkhidmatan dan antarabangsa. Keperluan mempelbagaikan peluang menjana produk dan perkhidmatan dalam industri pelancongan di Malaysia masih terbuka luas atau masih belum diterokai sepenuhnya. Walau secanggih manapun teknologi masa kini, industri pelancongan perlu diambil perhatian, diutamakan dan dijaga. Keindahan budaya dan alam sekitar usah kita abaikan. Pembangunan yang dikejar jangan sampai memusnahkan warisan alam semulajadi. Gabungan seimbang di antara kemajuan teknologi, keindahan alam sekitar, ketekunan promosi di pihak kerajaan dan kerjasama yang baik daripada para usahawan pelancongan adalah di antara elemen-elemen penting yang dapat membantu dan memelihara budaya dan warisan yang kita nikmati kini untuk generasi akan datang.






Lampiran



Rujukan

INFRA-Institut Kemajuan Desa (2009).Kalender Aktiviti latihan Tahun 2009.Kuala  
             Lumpur:INFRA.

Kalsom, K (2010). Industri Pelancongandalam  Pembangunan Ekonomi Negara.
             Taklimat Khas Pintu Masuk (Modul Kesedaran Dasar Pelancongan Negara)
             Anjuran Jabatan Imigresen Malaysia. Kedah:Desa Utra,Pedu.

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan pelancongan (2002). Malaysia Tourism
             Policy Study:policy Document.Kuala Lumpur:Kementerian Kebudayaan,

             Kesenian dan pelancongan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan